Sebentar tadi ana baru terbaca satu blog ini: Zaadut-Taqwa, sangat terkesan dengan penulisan yang ditulis oleh Maznah Daud ini..mari kita sama-sama renungi dan sama-sama kita bermuhasabah diri di penghujung Ramadhan ini...

Ramadhan bulan al-Quran. Alhamdulillah ramai dari kalangan muslimin bertungkus lumus mengejar pahala membaca al-Quran, bertilawah dan bertadarus sepanjang bulan yang mulia ini. Saat ini tentu ramai yang dah khatam, dah buat majlis khatam al-Quran sama ada secara besar-besaran atau kecil-kecilan.

Tahniah dan syabas kepada yang telah Berjaya khatam al-Quran sepanjang Ramadhan ini. Mudah-mudahan budaya baca al-Quran hingga khatam bukan hanya di lakukan di dalam bulan Ramadhan. Sebaliknya, biarlah berterusan selagi hayat dikandung badan.
Namun dengan membaca al-Quran sehingga khatam, adakah kita tergolong di dalam kalangan yang dipanggil ahli al-Quran dan orang-orang yang membawanya?

Ini yang patut direnung bersama. Abu Bakar al-Ajariy (wafat 360H) menyifatkan ciri-ciri ahli al-Quran. Beliau berkata:

“Himmahnya atau tumpuannya bukan pada ‘bilakah aku hendak khatam surah ini?’. Himmahnya ialah ‘bilakah aku akan orang yang berhajat kepada Allah semata-mata?’, ‘bilakah aku akan jadi muttaqin?’, ‘bilakah aku akan jadi musinin?’, ‘bilakah aku akan jadi mutawakkilin?’, ‘bilakah aku akan jadi khasyi’in?’, ‘bilakah aku akan jadi sobirin?’, ‘bilakah aku akan jadi sodiqin?’, ‘bilakah aku akan jadi kha’ifin?’, ‘bilakah aku akan jadi rajin (orang yang mengharap kepada Allah)?’, ‘bilakah aku akan zuhud di dunia?’, ‘bilakah aku akan cinta kepada akhirat?’, ‘bilakah aku akan bertaubat dari semua dosa-dosa?’, ‘bilakah aku akan mengiktiraf ni’mat yang melimpah ruah ruah?’, ‘bilakah aku akan mensyukuri ni’mat-ni’mat itu?’, ‘bilakah aku akan memahami titah Allah?’, ‘bilakah aku akan memahami apa yang aku baca?’, ‘bilakah aku akan dapat menewaskan nafsuku?’, ‘bilakah aku akan bermujahadah mencari redha Allah dengan sebenar-benar mujahadah?’, ‘bilakah aku akan memelihara lidahku?’, ‘bilakah aku akan menjaga pandangan mataku?’, ‘bilakah aku akan memelihara kemaluan?’, ‘bilakah aku akan menghisab diriku?’, ‘bilakah aku akan menyediakan bekalan untuk hari kepulanganku ke alam baqa?’, ‘bilakah aku akan redha dengan segala ketentuan Allah?’, ‘bilakah aku akan benar-benar yakin pada Allah?’, ‘bilakah aku akan gentar dengan nasihat al-Quran?’, ‘bilakah aku akan sibuk mengingati Allah sehingga tidak ada masa untukku mengingati yang lain?’, ‘bilakah aku akan mencintai apa yang dicintaiNya?’, ‘bilakah aku akan bersedia menghadapi kematian sedang aku tidak mengetahui ajalku?’, ‘bilakah aku akan berwaspada daripada apa yang peringatkan oleh Tuhanku?’

Apabila kamu tidak menerima nasihat Tuanmu dan hatimu buta daripada perintah-perintah Tuhanmu, maka kamu seperti orang yang derhaka ketika kamu membaca al-Quran dan mengulang-ulangnya. Sesiapa yang membaca surat daripada raja, tetapi dia enggan membangunkan kerajaannya dan enggan melaksanakan apa yang diperintahkan di dalam suratnya, maka dia hanya sekadar mempelajarinya sahaja tetapi mencanggahi perintahnya. Dan kalau dia tidak mempelajarinya serta tidak menuruti perintahnya, maka dia terang-terangan mempersendakan rajanya dan berhaklah mendapat kemurkaannya.

Ya! Itulah satu peringatan yang sungguh-sungguh terkena batang hidungku!

Wahai diriku, insaflah!
Bangkitlah dari tidurmu!
Ajalmu sudah berada di hujung jari kakimu!
Loceng tamat tempoh untuk kamu beramal akan berbunyi sebentar saja lagi!
Ya Allah, berikan aku peluang! Berikan aku kesempatan, ya Allah…!

اللهم أعني على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك


COUPLE ISLAMIK....apa tu??
Mari kita baca kisah ni...

Kisahnya mengenai 3 org, Syafiq, Safura dan Muhammad. Syafiq dan Safura sama-sama belajar di SAM Bestari. Beberapa lama kemudian, Syafiq jatuh hati pada keayuan Safura. Matanya mengalahkan Zinnirah. Wajahnya berseri-seri dengan cahaya keimanan. Pergh!! Cantik sangatlah jika nak diceritakan. Tetapi, Syafiq cuba tahan. Dia tidak boleh meluahkan perasaan dia pada Safura sebab nanti takut kena tangkap dengan ajk pencegah maksiat sekolah.

Beberapa tahun berlalu...Akhirnya, apabila Syafiq berada di Tingkatan 5, dia sudah tidak mampu bertahan. Dia mengatur langkah dan akhirnya, Safura tewas pada pujuk rayunya. Walaubagaimanapun, mereka ini sedar yang mereka orang Islam. Islam tidak membenarkan umatnya ber’couple’. Jadi mereka berpakat yang mereka ini hendak membuat satu revolusi dalam couple. "COUPLE ISLAMIC". Asal keluar, pergi tempat terbuka. Tak mainlah tempat gelap-gelap ni. Bukan itu sahaja, Safura kena pakai tudung labuh. Syafiq pula pakai serban dan jubah. Lepas itu mereka keluar bukan membuang masa, keluar bawa Al-Quran. Berhenti di kedai makan, tadarrus lagi. Jalan pula, mana ada pegang-pegang tangan, mereka ikut cara Nabi Musa. Lelaki di depan, perempuan di belakang. Bila balik rumah, missed call pagi-pagi. Suruh qiamullail. Hah! kan Islamic punya couple tu.

Setelah setahun mengamalkan taktik sedemikian, Syafiq ditakdirkan bertemu dengan Muhammad. Ketika itu Syafiq dan Safura sedang bertadarrus di RFC. Muhammad tiba-tiba datang menghampiri mereka kerana tiada tempat duduk. Bila duduk, Muhammad bertanya, "Have you married?". "No.", jawab Safura. "So, why you sit together with this ajnabi alone here", tanya Muhammad. "Kami couple, tapi Islamic way" jawab Syafiq. Muhammad hanya tersenyum mendengar jawapan itu. Muhammad pun memulakan ceritanya.

"Aku ni muallaf. Asal dulu aku kristian. Tinggal kat Singapore. Dulu, aku suka sangat makan babi. Kalau sehari tak makan, pengsan aku. Pernah sekali mak aku terlupa beli babi, aku masuk wad malam tu. Tetapi, Alhamdulillah, Allah buka pintu hati aku untuk terima hidayah-Nya. Bila aku masuk Islam, aku dapat tahu, dalam Islam tak boleh makan babi. Aduh, pening kepala aku. Macam mana aku nak buat ni??? Seminggu aku masuk hospital lepas masuk Islam. Kalau zaman Rasulullah dulu ada peringkat-peringkat dia. Tapi aku…mana ada. Jadi, time kat hospital tu aku fikir. Akhirnya, aku jumpa satu jalan keluar. Aku nak Islamkan babi tu. Aku beli seekor anak babi. Dari kecik aku jaga dia. Seekor lalat pun aku tak bagi dekat. Setiap jam aku mandikan dia. Lepas 3 hari, aku bisikkan kat telinga dia dua kalimah syahadah. Lepas tu, tiap-tiap hari aku bagi tazkirah kat babi tu. Asal dia berak aku vacuum terus. Camnilah kehidupan aku dan babi tu buat 2 tahun. Lepas dua tahun, masa yang ditunggu-tunggu tiba. Masa untuk sembelih babi ni. Tengok-tengok babi ni takde leher. Tapi, lantaklah. Aku tibai je sebab dah 2 tahun tak makan babi ni. Lepas tu, aku pun masak la bakut teh. Tengah-tengah makan, nampak seorang ustaz tengah jalan-jalan. Muka macam lapar je. Aku pun ajak la dia makan. Ustaz!!! jom makan. Babi Islam nih.”

Bila terdengar kisah itu, Syafiq dan Safura pun sedar. Kalau benda itu haram, ia tetap haram. Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas...


p/s : yg HARAM tetap akan HARAM walau kita cuba apa cara sekalipon untuk mengHALALkannya..peringatan untuk diri ku sendiri terutamanya....wallahualam...

KELEBIHAN BULAN REJAB

BULAN REJAB MENURUT PERSPEKTIF AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

Pengenalan.

1. Rejab ertinya "mulia". Bulan Rejab adalah bulan mulia. Ia diberi nama sedemikian kerana bangsa Arab dulu sangat memuliakan bulan ini dengan empat cara, iaitu:

o Tanggal 1 hb. Rejab mereka menyembelih anak unta sebagai korban.

o Tanggal 1 hb. Rejab mereka akan membuka pintu Ka'abah siang dan malam agar dapat beribadah dengan sepuasnya.

o Tanggal 10 hb. Rejab mereka kembali menyembelih korban tetapi tidak lagi anak unta. Amalan ini telah dibatalkan setelah datangnya Islam.

o Bulan diharamkan berperang, setelah datangnya Islam amalan ini juga telah dibatalkan.


2. Tanggal 27 hb. Rejab berlakunya peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah s.a.w iaitu Isra' dan Mi'raj. Terdapat khilaf di kalangan ulama mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini, tetapi jumhur ulama' bersepakat menerima ianya berlaku pada 27hb. Rejab. Tarikh berlakunya Isra' dan Mi'raj tidaklah penting tetapi umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas Rasulullah s.a.w. berdasarkan dalil qath'ie dari Al-Quran dan hadis-hadis sahih.


3. Pada bulan ini juga berlakunya peperangan Tabuk pada tahun 9 Hijrah iaitu peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah s.a.w.


Bulan Rejab Menurut Al-Quran

Al-Quran tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat dua surah yang menyentuhnya secara tidak langsung iaitu Surah Al-Baqarah (ayat 194 dan 217) dan Surah At-Taubah (ayat 2, 36 dan 37). Antara dalil Al-Quran ialah firman Allah s.w.t. yang bermaksud:-

"Bulan haram dengan bulan haram, dan pada sesuatu yang patut dihormati.." (Al-Baqarah: 194)

"Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antara 4 bulan haram.." (At-Taubah: 36)

Ulama berselisih pendapat kenapa bulan-bulan ini (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dinamakan bulan haram. Pertama, dikatakan bahawa ia disebabkan kebesaran kehormatannya, sebagaimana besarnya dosa yang dikira jika dilakukan dalam bulan itu. Ibn Abbas berkata bahawa sesungguhnya Allah mengkhususkan keempat-empat bulan itu, sebagaimana ganjaran besar untuk amalan soleh yang dilakukan dalam bulan itu.


Kedua, dikatakan juga ia dinamakan bulan haram lantaran pengharaman peperangan dilakukan dalam bulan itu dan ia dalah amat dikenali pada masa jahiliyah dan dikatakan juga ia dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s.

Dikatakan juga oleh ulama bahawa keempat-empat bulan itu dinamakan haram berikutan pengharaman peperangan disebabkan ibadah haji dan umrah yang dilakukan dalam bulan haram itu. Bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram adalah tiga bulan yang berturutan. Maka, diharamkan bulan Zulkaedah lantaran bakal haji melakukan perjalanan ke Makkah dalam bulan itu. Bulan Zulhijjah disebabkan ibadah haji dilakukan dalam itu dan bulan Muharram pula mereka yang mengerjakan ibadah haji akan kembali ke tempat masing-masing. Pengharaman ini bagi membolehkan mereka yang mengerjakan haji berasa aman terhadap keselamatan diri. Rejab pula diharamkan lantaran ibadah umrah dilakukan dalam bulan itu pada pertengahan tahun.

Bulan Rejab Menurut As-Sunnah

Berdasarkan dalil Al-Quran jelas menunjukkan bahawa bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang sangat dimuliakan atau dipanggil juga Al-Ashhur Hurum. Perlu ditegaskan bahawa melakukan puasa dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Ada hadis yang menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh para sahabat melakukan puasa sunat dalam bulan Al-Ashhur Hurum. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah dituntut, tetapi tiada satu hadis sahih yang membuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.

Dalam satu riwayat datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya, "Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama." ujar Nabi s.a.w., "Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, "Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam." Maka tanya Rasulullah s.a.w. "Kenapa kamu seksa dirimu?" Lalu sabdanya, "Berpuasalah pada bulan sabar – yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!" "Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya!," ujar lelaki itu. "Berpuasalah dua hari!" Sabda Nabi. "Tambahlah lagi!" Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda "Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah!" (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi s.a.w. memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik).

Berpuasa dalam bulan-bulan haram iaitu empat bulan, tiga bulan berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab) adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya. Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan haram sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa.

Terdapat satu hadis yang bertaraf hasan menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w telah berpuasa (di dalam bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Sya'aban dan bila ditanya, baginda menyatakan, kerana ia (Rejab) bulan pengampunan di antara Rejab dan Ramadan. Ada sebahagian masyarakat berpuasa berturut-turut (Rejab, Sya'aban dan Ramadan) di ketiga-tiga bulan. Ini bukannya dari Rasulullah s.a.w., bukan dari sahabat dan salafussoleh. Yang terlebih baik ialah berpuasa sebahagiannya atau berpuasa selang sehari dan bukan berterusan. Inilah sunnah Rasulullah s.a.w.

Kali ini ana ingin kongsikan satu kisah di mana kisah ini sangat penting untuk dijadikan rujukan dan ikutan kepada pemuda-pemudi Islam zaman ini kerana ia mengisahkan seorang pemuda yang berani kerana Allah s.w.t, hatta ditaruhkan nyawa sekalipun. Ilmu yang benar akan memimpin kita kepada Allah s.w.t, dan ini lah yang di ajarkan oleh pendeta (ahli Ibadat) sedangkan ilmu yang diajarkan oleh ahli sihir istana adalah bathil semata-mata. Tawakkal dan berserahnya pemuda itu kepada Allah s.w.t menyebabkan bukan sahaja dia seorang, malah keseluruhan rakyat mendapat hidayah dan beriman kepada Allah s.w.t. . Kita dapat mengikuti kisah pemuda ini tertera dalam Surah Al-Buruj, ayat 4-9:

﴿قُتِلَ أَصْحَـبُ الاٍّخْدُودِ - النَّارِ ذَاتِ الْوَقُودِ - إِذْ هُمْ عَلَيْهَا قُعُودٌ - وَهُمْ عَلَى مَا يَفْعَلُونَ بِالْمُؤْمِنِينَ شُهُودٌ - وَمَا نَقَمُواْ مِنْهُمْ إِلاَّ أَن يُؤْمِنُواْ بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ - الَّذِى لَهُ مُلْكُ السَّمَـوَتِ وَالاٌّرْضِ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ شَهِيدٌ﴾


Maksudnya: "Celakalah kaum yang menggali parit, (Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran, (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman. Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji! Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu. "

Dan kisah ini diterangkan dengan lebih jelas lagi oleh Nabi kita Muhammad s.a.w dalam hadits baginda seperti berikut;

Shuhaib bin Simaan Arrmmi ra. mengatakan bahwa Rasulullah saw. bersabda:

Di masa dahulu ada seorang raja (Yahudi) yang mempunyai seorang yang ahli sihir, kemudian ketika ahli sihir telah tua ia berkata kepada raja: "Kini aku telah tua dan mungkin telah dekat ajalku, karena itu anda kirim kepadaku seorang pemuda yang dapat aku ajarkan kepadanya ilmu sihir"

Maka raja berusaha mendapat seorang pemuda untuk mempelajari ilmu sihir itu, sedang di tengah jalan antara tempat ahli sihir dengan rumah pemuda itu ada tempat seorang pendeta (ahli ibadah) yang mengajar agama, maka pada suatu masa pemuda itu singgah di tempat pendeta untuk mendengarkan pengajiannya, maka ia tertarik dengan ajaran pendeta itu sehingga jika ia terlambat datang kepada ahli sihir dia akan dipukul, dan bila terlambat kembali ke rumahnya juga dia dipukul, maka ia mengadu tentang kejadian itu kepada pendeta.

Maka diajar oleh pendeta jika terlambat datang kepada ahli sihir supaya berkata aku ditahan oleh ibuku, dan bila terlambat kembali ke rumah katakan: Aku ditahan oleh ahli sihir.

Maka berjalan beberapa lama kemudian itu, tiba-tiba pada suatu hari ketika ia akan (hendak) pergi, mendadak (tiba-tiba) di tengah jalan ada seekor binatang buas sehingga orang-orang (ramai) tidak berani jalan di tempat itu, maka pemuda itu berkata: "Sekarang aku akan mengetahui yang mana lebih yang lebih baik di sisi Allah apakah ajaran pendeta atau ajaran ahli sihir", lalu ia mengambil sebutir batu dan berdoa "Ya Allah jika ajaran pendita itu lebih baik di sisimu maka bunuhlah binatang itu supaya orang-orang dapat lalu lalang di tempat ini".Lalu dilemparkanlah batu itu, dan langsung terbunuh binatang itu. Dan orang ramai gembira karena telah dapat lalu lintas di jalan itu.

Maka ia langsung memberitakan kejadian itu kepada Rahib (pendita), maka berkatalah Rahib itu kepadanya : "Anda kini telah afdhat (pesan) daripadaku, dan anda akan diuji, maka jika diuji jangan sampai menyebut namaku". Kemudian pemuda itu dapat menyembuhkan orang buta dan sopak dan berbagai macam penyakit yang berat-berat pada semua orang.

Ada seorang pembesar dalam majlis raja dan dia telah buta karena sakit mata, ketika ia mendengar berita bahwa ada seorang pemuda dapat menyembuhkan pelbagai macam penyakit maka ia segera pergi kepada pemuda itu sambil membawa hadiah yang banyak, sambil berkata: "Sembuhkan aku, dan aku sanggup memberikan kepadamu apa saja yang anda suka".

Jawab pemuda itu: "Aku tidak dapat menyembuhkan seseorang pun sedang yang menyembuhkan hanya Allah azza wa jalla, jika engkau mahu beriman (percaya) kepada Allah, maka aku akan berdoa semoga Allah menyembuhkan mu".

Maka langsung dia beriman kepada Allah dan didoakan oleh pemuda dan seketika itu juga ia sembuh dengan izin Allah s.w.t.

Kemudian ia kembali ke majlis raja sebagaimana biasanya, dan ditanya oleh raja "Hai Fulan siapakah yang menyembuhkan matamu"

Jawabnya "Rabbi (Tuhanku)"

Raja bertanya: "Aku?"

Jawabnya "Bukan, tetapi Tuhanku dan Tuhanmu iaitu Allah"

Ditanya oleh Raja "Apakah anda mempunyai Tuhan selain Aku?"

Jawabnya "Ya, Tuhan ku dan Tuhanmu ialah Allah"

Maka disiksa oleh raja seberat-beratnya siksa sehingga terpaksa ia memberitahu raja itu akan pemuda yang mendoakannya untuk sembuh itu.

Maka segera dipanggil pemuda itu lalu berkata "Hai anak sungguh hebat sihirmu sehingga dapat menyebuhkan orang buta dan sopak dan berbagai macam penyakit"

Jawab pemuda itu "Sesungguhnya aku tidak dapat menyembuhkan siapa pun, hanya semata-mata Allah azza wa jalla".

Raja itu pun bertanya "Adakah aku?"

"Tidak" jawab permuda itu.

maka tanya raja itu "Adakah engkau ada tuhan lain selain aku?"

Jawab pemuda "Ya, Tuhanku dan Tuhanmu hanya Allah"

Maka pemuda itu ditangkap dan disiksa seberat-beratnya sehingga terpaksa dia menunjukkan pada Rahib yang mengajarnya. Maka dipanggil Rahib dan dipaksa untuk meninggalkan agamanya, tetapi Rahib tetap bertahan dan tidak mahu beralih agama, maka diletakkan gergaji di atas kepalanya dan digergaji dari atas kepalanya hingga terbelah dua badannya.

Kemudian kembali pemuda itu diperintah untuk meninggalkan agama yang dianutnya (agama Islam), tetapi pemuda ini juga menolak perintah raja, Maka raja memerintahkan supaya pergi ke puncak gunung dan di sana juga supaya ditawarkan kepadanya untuk meninggalkan agamanya dan mengikuti agama raja, jika tetap menolak supaya dilempar dari atas gunung itu, maka ketika telah sampai di atas gunung dan ditawarkan kepadanya pemuda untuk berubah agama, dan ditolak oleh pemuda itu. Kemudian pemuda itu berdoa "Allahumma ikfinihim bimaa syi'ta (Ya Allah selesaikanlah urusanku dengan mereka ini dengan aku sehendak-Mu)". Tiba-tiba gunung itu bergoncang sehingga mereka berjatuhan dari atas bukit dan mati semuanya, maka segeralah pemuda itu kembali menemui raja, dan ketika ditanya: "Manakah orang-orang yang membawamu?"

Jawabnya: "Allah yang menyelesaikan urusan mereka".

Lalu pemuda itu diperintah untuk membawanya ke laut dan naik perahu, bila telah sampai di tengah laut ditanyakan padanya jika ia mau mengubah agama, jika tidak maka lemparkan ke dalam laut dan ketika telah sampai di tengah laut pemuda itu berdoa: "Allahumma ikfinihim bimaa syi'ta", maka tenggelamlah orang yang membawanya semuanya dan segeralah pemuda kembali menghadap raja. Dan ketika ditanya oleh raja "Bagaimana keadaan orang-orang yang membawamu?"

Jawabnya: "Allah yang menyelesaikan mereka".

Kemudian pemuda itu berkata kepada raja "Engkau takkan dapat membunuhku kecuali jika engkau menurut perintahku maka dengan itu engkau akan dapat membunuhku"

Raja bertanya: "Apakah perintahmu?"

Jawab pemuda: "Kau kumpulkan semua orang di suatu lapangan, lalu engkau gantung aku di atas tiang, lalu anda ambil anak panah milikku ini dan kau letakkan di busur panah dan membaca: Bismillahi Rabbil ghulaam (Dengan nama Allah Tuhan pemuda ini), kemudian anda lepaskan anak panah itu, maka dengan itu anda dapat membunuhku".

Maka semua usul pemuda itu dilaksanakan oleh raja, dan ketika anak panah telah mengenai pelipis pemuda itu ia mengusap dengan tangannya dan langsung mati, maka semua orang yang hadir berkata: "Aamannaa birrabil ghulaam (Kami beriman kepada Tuhannya pemuda itu)".

Sesudah itu ada orang memberitahu kepada raja bahwa semua rakyat telah beriman kepada Tuhannya pemuda itu, maka bagaimanakah usaha untuk menghadapi rakyat yang banyak ini. Maka raja memerintah supaya di setiap jalan digali parit dan dinyalakan api, dan tiap orang yang berjalan di sana, dan ditanya lentang agamanya, jika ia telap setia pada kami biarkan, tetapi jika ia tetap percaya kepada Allah masukkanlah ia ke dalam parit api itu.

Maka adanya orang berjejal-jejal (berbaris-baris) dorong mendorong yang masuk di dalam parit api itu, sehingga tiba seorang wanita yang menggendong (membawa) bayinya yang masih menyusu, ketika bayinya diangkat oleh pengikut-pengikut raja untuk dimasukkan kedalam parit berapi itu, wanita itu hampir menurut mereka berganti agama karena sangat belas kasihan pada anaknya yang masih kecil itu, tiba-tiba anak bayi itu berbicara dengan suara lantang:

"Sabarlah hai ibuku karena kau sedang mempertahankan yang hak."

(H.R. Ahmad, Muslim dan An-Nasa'i)

Berkata Ibnu Abbas kisah ini berlaku 70 tahun sebelum Nabi saw.

Semoga kita sebagai pemuda-pemudi Islam dapat mengambil iktibar dan pedoman dari kisah ashabul ukhdud yang hebat ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DRUG OF THE DAY..

HARI INI..

MASA ITU EMAS

SALAM UKHUWWAH

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan (amal salih) dan berkata, 'Sungguh, aku termasuk orang-orang yang berserah diri'?"
[Surah Fussilat, 41:33]

~^.^~

ABOUT ME

My photo
Alor Setar, Kedah, Malaysia

LUAHAN HATI

POPULAR POSTS

KHABAR PALESTIN

PEMBACA

MY SAHABAT

MY AKHAWAT

IIUM FRIENDS

FOLLOWED BLOGS

ASMA' ALLAH AL-HUSNA

FAVORITE LINK

LA ILAAHA ILLALLAH..

BOYCOTT ISRAEL!!

BOYCOTT ISRAEL!!

FOLLOWERS